(Berita Harian) Kerajaan sasar tambah bilangan stesen pengecas kenderaan elektrik

SHAH ALAM: Kerajaan menyasarkan lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) diwujudkan berikutan terdapat syarikat tempatan mampu menyediakan perkhidmatan membina kemudahan itu dengan kos lebih murah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran hampir 5,000 stesen pengecas EV dibina menerusi Dasar Automatif Nasional 2020, namun ia masih dalam peringkat pembangunan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerjasama syarikat tempatan, Mobility Werk Group (MW Group) menerusi syarikat MW EV Sdn Bhd dengan syarikat dari United Kingdom, EZ-Charge dilihat sebagai pemangkin bagi membina lebih banyak stesen pengecas EV di seluruh negara.

"Kita percaya ekosistem pembangunan EV pada satu ketika nanti memiliki kemudahan pengecasan di mana-mana dalam negara. Jadi apa yang ingin kita lakukan ialah memastikan stesen pengecas EV ini dibangunkan dengan lebih murah berbanding harga stesen pengecas EV di luar negara.

"Dengan adanya teknologi pembangunan dan pembuatan tempatan, kita percaya selain dapat membangunkan teknologi EV, kita juga boleh menyediakan bakat dalam proses awal hingga akhir bermula daripada reka bentuk sehingga ke pengkomersialan," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama antara anak syarikat MW EV Sdn Bhd iaitu MV Group Sdn Bhd dan syarikat EZ-Charge di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MV Group, Zulkifli Kasim berkata, kerjasama dengan rakan kongsi teknikal EZ-Charge dilihat ke arah merealisasikan perkembangan EV dalam industri automotif di Malaysia.

Beliau berkata, EZ-Charge adalah sebuah syarikat berpengalaman lebih 30 tahun dalam inovasi penyelesaian elektronik pintar dan mempunyai kredibiliti dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui dari United Kingdom.

Katanya, MW Group akan mencari lebih banyak kerjasama strategik termasuk rakan kongsi di Jepun bagi merealisasikan pembuatan alat ganti dan komponen EV tempatan.

"Ini membentuk pelan strategik kami dalam memainkan peranan penting dalam peralihan industri automotif kepada teknologi EV," katanya.

Zulkifli berkata, dengan kerjasama strategik itu, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pembuatan dan pembangunan bakat tempatan bagi membentuk ekosistem rantaian bekalan yang kompetitif untuk pasaran Malaysia dan Asia Oceania.

Katanya, menerusi pelan jangka panjang, pihaknya juga merancang membina sebuah kilang pintar menjelang 2023 bagi mengeluarkan alat ganti, komponen dan pengecas EV yang berdaya saing dari segi kos.

Oleh Norzamira Che Noh - Februari 11, 2022 @ 4:49pm

bhnews@bh.com.my

Previous
Previous

(Berita Harian) Malaysia sasar tingkat jumlah stesen pengecas EV